Pages

Wednesday, September 21, 2011

Elak ganggu orang beribadat, tidur


Elak ganggu orang beribadat, tidur

Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


LARANGAN membaca al-Quran dengan pembesar suara dari masjid dan surau yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 7 April lalu sebelum surat pekelilingnya diedarkan baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

Isu berkenaan tercetus selepas akhbar ini pada 12 Ogos lalu melaporkan mengenai surat pekeliling dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang ditandatangani Pengarahnya, Sazali Hussein.


Sebelum itu, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang memutuskan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara daripada 205 masjid dan surau sebelum Subuh dilarang mengikut syarak kerana perbuatan itu boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam masjid atau di luarnya.


Keputusan itu diputuskan menerusi mesyuaratnya pada 7 April lalu dan sehubungan itu JHEAIPP mengeluarkan satu pekeliling bertajuk ‘Hukum Membaca al-Quran Sebelum Subuh Dengan Menggunakan Pembesar Suara’ bertarikh 3 Ogos lalu kepada seluruh jawatankuasa kariah masjid di negeri itu dan meminta mereka melaksanakannya.


Turut dilampirkan ialah minit mesyuarat keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang yang bertajuk ‘Aduan Mengenai Membaca al-Quran Sebelum Waktu Subuh Dengan Menggunakan Pembesar Suara’.


Lampiran itu menyatakan: “Mesyuarat memutuskan bahawa bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara dari masjid dan surau adalah dilarang menurut hukum syarak kerana boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam dan luar masjid demi maslahah ammah (kepentingan umum). Perbuatan itu mestilah dihentikan kerana ada nas yang melarangnya.” Minit mesyuarat itu turut memetik dalil daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abi Sa’id al-Khudri menerusi kitab Sunan Abi Daud yang bermaksud: “Ketika Nabi SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), Baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran), sedangkan ketika itu Nabi berada di tempat ibadat Baginda.



“Lalu Baginda mengangkat langsir dan bersabda: Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada Tuhan jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain dan jangan kamu mengangkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.” Surat itu turut memetik kenyataan laman web islamweb.net yang menjelaskan memperdengarkan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara masjid sebelum dan selepas azan Subuh hukumnya adalah tidak harus kerana jika amalan itu bermaksud sebahagian daripada ibadat atau bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT, ia adalah bidaah baru dalam agama.


Sebaliknya, jika bukan membawa maksud itu, hukumnya juga tidak harus kerana ia sebahagian daripada maksud gangguan terhadap orang sedang bersolat dan bertahajud, bahkan kadangkala mengganggu orang tidur di rumah mereka.


Persatuan Kariah-Kariah Masjid Pulau Pinang dan Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan) meminta umat Islam di negeri itu akur dengan arahan dikeluarkan bagi mengelak berlakunya perbalahan.


Yang Dipertua Persatuan Kariah-Kariah Masjid Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff berkata, surat pekeliling JHEAIPP itu memberi penjelasan berhubung larangan itu termasuk dalil serta nas yang digunakan dan meminta semua pihak akur kerana fatwa itu dikeluarkan Jabatan Mufti berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri.


Sementara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) terkejut dan kecewa dengan pengeluaran surat pekeliling berkenaan. Presidennya, Mohamed Maliki Mohamed Rafiee berkata pihaknya terkejut apabila mengetahui larangan itu dan kecewa dengan tindakan yang dianggap mendadak. “Pihak berkaitan mesti meminta pandangan orang ramai sebelum mengeluarkan arahan sedemikian,” katanya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik sebagai berkata, pihaknya meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membincangkan masalah itu kerana terdapat perkara yang perlu diselesaikan pada peringkat pentadbiran terlebih dulu.


“Kita minta Jakim memanjangkan perkara ini untuk dibincangkan bersama sebab ada perkara yang perlu kita selesaikan pada pentadbiran yang bukan memerlukan kepada muzakarah ataupun fatwa,” katanya.


Majlis Fatwa Kebangsaan pula meminta Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang menimbangkan sehalus-halusnya larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh di masjid dan surau di negeri itu kerana ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan umat Islam di negara ini.


Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abd Shukor Husin, berkata larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.


Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri seharusnya mengadakan perbincangan dulu bersama mufti di negeri lain melalui Majlis Agama Islam kerana larangan itu dibimbangi menjadi asas hukum kepada larangan sama di negeri lain.


Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, berkata pihaknya bertanggungjawab menyelesaikan kemusykilan dan permasalahan berkaitan hukum Islam di negeri itu dan nasihat hukum dibuat atas rasa tanggungjawab berdasarkan dalil yang sahih.


“Arahan meminta dielakkan bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar serta dalam masjid memang wajar dan ia bukannya isu politik tetapi untuk menjaga martabat Islam sebagai agama harmoni.


“Saya kesal dengan tuduhan pelbagai pihak yang menyatakan kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat fatwa melulu dan di bawah arahan pihak tertentu berkaitan isu berkenaan,” katanya.


Hassan berkata, keputusan mesyuarat itu tidak diwartakan dan ia adalah satu keputusan hukum sebagai panduan serta menjelaskan pandangan Islam berhubung amalan berkenaan untuk dipatuhi oleh umat Islam.


Katanya, banyak pihak menyalah tafsir nasihat hukum itu sebagai fatwa dan oleh kerana ia tidak diwartakan, maka pihaknya tidak perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Seksyen 48 Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang).


Penceramah bebas, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz pula berkata al-Quran boleh dibaca sama ada perlahan atau nyaring tetapi mengikut keadaan dan tempat. “Membaca al-Quran seperti juga sembahyang. Apa yang penting, ia tidak mengganggu orang sembahyang atau tidur dan ada hukum mengenainya.


“Jika tidak kena cara atau tempat, ia boleh merosakkan ayat al-Quran itu sendiri,” katanya.


Menurutnya, membaca al-Quran menggunakan pembesar suara selama ini adalah tradisi masyarakat namun apa guna jika kaedah itu dipertikaikan.


“Jika kita kuatkan pembesar suara itu, apa yang kita dapat? Kajian seharusnya dibuat sama ada apabila pembesar suara digunakan ketika membaca al-Quran, ada atau tidak perubahan berlaku seperti umat Islam datang ke masjid atau ada bukan Islam memeluk Islam.


“Pada saya yang penting isi kandungan al-Quran itu kita sebarkan, jalankan perintah yang ada dalam kalam Allah ini,” katanya.


Dalam menyelesaikan isu berbangkit ini, semua pihak berkaitan perlu duduk semeja untuk berbincang sekali gus mencari jalan penyelesaian ke atas masalah yang dihadapi. Walau apapun pendapat atau pandangan, agama Islam seharusnya menjadi panduan.


Penulis Ketua Biro Harian Metro Pulau Pinang

Sumber : MetroOnline + Gambar Mr.Google.com

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...