Friday, July 27, 2012
Tak perlu lesen bela burung candik
KOTA BHARU: Peminat burung candik kini boleh membela dan memasuki pertandingan tanpa perlu memiliki lesen apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), menarik balik lesen pemilikan burung itu, berkuat kuasa Jun lalu.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Rahmat Topani, berkata sebelum ini, bayaran lesen bagi burung itu adalah sebanyak RM10 seekor untuk tempoh setahun. Katanya, sebelum ini haiwan berkenaan adalah haiwan yang dilindungi dan perlu memiliki lesen sama ada untuk dibela atau memasuki pertandingan tetapi kini pemiliknya tidak perlu risau kerana lesen pemilikannya sudah dimansuhkan.
“Pemansuhan lesen itu menunjukkan kerajaan prihatin dengan hobi penduduk negara ini dan berharap pemansuhan lesen bagi burung candik dapat dihebahkan kepada orang ramai, khususnya pemilik burung itu.
“Sebelum ini, ramai peminat burung candik banyak membelanya secara sembunyi tanpa memiliki lesen tetapi kini mereka tidak perlu bimbang kerana lesen itu sudah dimansuhkan. Diharap dengan pemansuhan ini, peminat burung candik boleh memeriahkan pertandingan dan terus mempromosikan keunikan burung candik yang ada antaranya mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut Rahmat, orang ramai khususnya penduduk Kelantan amat suka bertanding dan membela burung candik dan haiwan itu akan dijaga dengan baik.
p/s: Gambar2 copy dr mr Google.com