Pages

Tuesday, September 04, 2012

Ahmad Sharbinee Allawee Rela Disiasat



KUALA TERENGGANU - "Saya rela dan sedia disiasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mengenai dakwaan saya jual permainan."

Itu tegas penjaga gol Terengganu, Ahmad Sharbinee Allawee yang dihujani tohmahan dia menjual perlawanan.

Ini ditambah dengan aksi terbarunya ketika menentang Kedah yang dianggap meragukan oleh jurulatih.

Penjaga gol kebangsaan berusia 25 tahun itu sanggup bersumpah bagi membuktikan dia tidak pernah melakukan perbuatan keji itu.

Dia amat kesal dengan dakwaan liar itu yang menjejaskan reputasi serta nama baiknya selain menanggung aib yang keterlaluan.

"Saya tak takut, berani kerana benar. SPRM boleh datang ambil saya dan siasat saya pada bila-bila masa. Orang nak kata apa saja tentang saya, katalah dan saya tak kisah tapi jangan sekali-kali tuduh saya macam ini (jual perlawanan).

"Saya harap jangan buat kenyataan atau spekulasi yang bukan-bukan, mereka yang berkenaan boleh panggil SPRM untuk siasat saya dan kalau sah memang saya jual perlawanan, baru boleh buat kenyataan (tuduhan).

"Saya berani bersumpah dan saya tak takut untuk berbuat demikian (bersumpah) kerana saya memang tak buat begitu (jual perlawanan)," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Sharbinee mengulas konflik dengan jurulatihnya, Peter Butler sehingga hampir tercetus pergaduhan pada perlawanan Terengganu menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Pada perlawanan itu, Butler dan Sharbinee bertikam lidah selepas jurulatih kelahiran England itu mengeluarkannya yang gagal mengawal gawang sehingga kapten pelawat, Baddrol Bakhtiar menghasilkan jaringan.

Dalam situasi tegang itu, Sharbinee dilihat melemparkan botol minuman ke arah Butler sebelum dapat dileraikan pegawai pasukan.

Sharbinee mengakui melakukan kesilapan sehingga melepaskan gol mudah, Terengganu terpaksa berkongsi mata dengan seri 1-1 dengan Kedah tempoh hari.

"Memang saya akui, saya lakukan kesilapan tapi janganlah maki hamun saya di depan ribuan penonton sehingga mengaibkan saya. Tindakannya (Butler) langsung saya tak boleh terima," katanya, yang tidak bercadang untuk memohon maaf daripada jurulatih berkenaan ekoran insiden itu.

Oleh Radhuan Hussain
sukan@utusan.com.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...