Pages

Monday, February 14, 2011

Ganjaran Pemain skuad Piala Suzuki - RM115,000


Setiap sorang dapat $50,000.00

REZEKI barisan 22 pemain yang membawa Malaysia menjadi juara Piala Suzuki AFF 2010 pada 29 Disember lalu terus bertambah.

Semalam, kesemua 22 pemain itu serta ketua jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menerima RM50,000 setiap seorang daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai ganjaran menjulang trofi terunggul Asia Tenggara itu buat kali pertama selepas 14 tahun.

Ganjaran tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah pada satu majlis khas yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

“Saya cukup gembira kerana selepas berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, kita berjaya pula menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 setelah menanti selama 14 tahun.

“Para pemain telah memberi sepenuh jiwa raga mereka untuk memenangi piala ini. Kita semua patut berasa bangga dengan kejayaan ini,” titah Sultan Ahmad Shah ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Pada 12 Januari lalu, kesemua 22 pemain negara itu telah menerima ganjaran berjumlah RM65,000 daripada Kerajaan Malaysia yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tanpa dikira ganjaran tambahan yang diperolehi beberapa pemain daripada kerajaan negeri masing-masing, setiap pemain skuad Piala Suzuki AFF 2010 itu kini sudah menerima durian runtuh berjumlah RM115,000.

Sultan Ahmad Shah seterusnya mahu barisan pemain-pemain muda negara mengorak langkah untuk mencipta satu lagi sejarah layak ke Sukan Olimpik 2012 di London dengan melepasi saingan kelayakan yang akan bermula 23 Februari depan.

Namun ditanya sama ada jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee turut akan membimbing skuad Sukan SEA 2011 di Indonesia, November depan, titah baginda: “Kita akan putuskan siapa jurulatih Sukan SEA pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, 23 Februari depan.”

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Rajagobal akan membantu Kim Swee untuk Sukan SEA 2011 tetapi tidak jelas sama ada Rajagobal akan bertindak sebagai ketua jurulatih atau sekadar penasihat pasukan.

Turut berlangsung semalam, mesyuarat Jawatankuasa Kewangan FAM yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah tetapi jumlah geran kewangan kepada setiap pasukan Liga Super dan Liga Premier musim ini masih dirahsiakan nilainya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...