Pages

Thursday, August 11, 2011

Gereja Methodist Damansara Utama - Waran Tangkap

Waran tangkap 12 individu

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengeluarkan waran tangkap kepada 12 individu beragama Islam yang gagal hadir memberi keterangan berhubung isu pemeriksaan Jais ke atas sebuah gereja di Seksyen 13, Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Semalam, kesemua individu terbabit dijadual tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan Jais, namun tiada seorang pun hadir.


Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof, berkata notis susulan untuk menghadirkan diri dikeluarkan lagi semalam dan seandainya mereka tetap gagal hadir pihaknya akan membuat permohonan daripada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan waran tangkap. “Kita akan susul dulu menerusi surat mengandungi notis kehadiran dan dalam tempoh 24 jam mulai hari ini (semalam) jika tak hadir baru keluar waran tangkap.

“Setakat ini, kita sudah serahkan surat dan menelefon mereka supaya hadir dan beri keterangan kepada Jais.


“Bagaimanapun sehingga kini tidak ada seorang pun daripada 12 individu itu hadir. Kami difahamkan mereka dinasihatkan oleh peguam masing-masing supaya tidak hadir memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Rabu lalu, Bahagian Penguat kuasa Jais dan polis menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya kerana mengadakan majlis makan malam anjuran komuniti gereja yang turut dihadiri umat Islam. Majlis itu dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disyaki berselindung di sebalik kegiatan kebajikan dengan menawarkan wang tunai, tempat tinggal dan makanan percuma kepada golongan miskin atau menghadapi masalah kewangan sebelum memesongkan akidah mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal-Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, dipetik berkata anggota penguat kuasa Jais bersama polis menjalankan pemeriksaan di premis itu walaupun dihalang penganjur.


Katanya, penganjur utama dipercayai beragama Islam berunding hampir sejam bersama ketua pasukan operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis selesai.

Selain itu, pegawai penguat kuasa Jais dan polis turut mendapati ada cubaan untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang.


Hasan berkata, terdapat 12 orang beragama Islam menghadiri majlis itu, namun tiada tangkapan dibuat dan berpandukan siasatan awal, mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.


Sementara itu, Pengarah Jais, Marzuki Hussin dalam SMS dihantar kepada wartawan semalam memohon semua pihak bertenang berhubung dengan pemeriksaan ke atas DUMC sehingga kertas siasatan selesai.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...