Pepatah ada mengatakan, “Nak melentur buluh biarlah dari rebung”, “Bapa borek,  anak rintik” dan “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”. Kesemua pepatah  lama ini mengandungi unsur-unsur dalam pendidikan. Kita telah biasa mendengar  pepatah-pepatah ini dan mungkin pernah mengalami konflik yang kritikal berkaitan  dengan pepatah tersebut. Misalnya pepatah “Nak melentur buluh biarlah dari  rebung” dapat memberi nasihat kepada kita bahawa kalau mahu membentuk peribadi  atau membentuk akhlak yang baik ke atas seseorang manusia hendaklah dibentuk  sejak kecil lagi.
Contoh yang terdekat dengan kita adalah seperti  mendidik anak-anak untuk mengerjakan perintah solat lima waktu sehari semalam.  Kita hendaklah membiasakan diri mereka, mengajar mereka serta menyuruh mereka  bersolat ketika masih kecil sebelum baligh.
Janganlah hendaknya apabila  anak-anak kita sudah tumbuh misai, janggut barulah disuruh mengerjakan perintah  Allah itu, kerana kalau salah-salah langkah, anak-anak yang sudah besar itu  boleh melenting kepada ibu bapa.
Dalam hal ini Nabi Muhammad s.a.w.  bersabda: “Perintahkanlah anak-anak kamu menunaikan solat ketika mereka berusia  tujuh tahun dan pukullah (kalau mereka enggan) bila usia meningkat sepuluh  tahun. Dan pisahkan tempat tidur mereka.”
Kita berasa begitu gembira  dengan sambutan yang diberi oleh masyarakat Islam untuk sama-sama membentuk  generasi akan datang sebagai generasi yang terdidik, jiwa yang cinta kepada  Allah dan Rasul. Kita kagum melihat bagaimana telatah anak-anak kecil yang  berumur dalam lingkungan tiga atau empat tahun sudah memakai tudung bagi yang  perempuan. Kanak-kanak ini sudah turut serta bersama-sama ibu bapa mereka  meramaikan rumah-rumah Allah.
Bagaimana pula dengan anak-anak kita? Nak  dibiarkan sampai boleh bergelar ‘bapa’ atau ‘datuk’ barulah nak bergegas ke  masjid atau ke kuliah-kuliah fardu ain?Ibu bapa haruslah menunjukkan contoh  kepada anak-anak mereka. Biarkan anak-anak kecil kita melihat bagaimana  kedua-dua ibu bapa mereka mengerjakan ketaatan kepada perintah Allah.
Biasanya kita lihat di rumah-rumah, apabila ibu bapa hendak solat maka  anak-anak mereka akan diletakkan jauh-jauh dari mereka atau dibiarkan terkurung  di dalam bilik, takut mengganggu. Ini merugikan dari segi pendidikan anak-anak  itu.
Seboleh-bolehnya biarlah anak-anak kita melihat bagaimana cara kita  mengerjakan sembahyang. Dalam umur dua, tiga tahun mereka sudah kenal apa itu  sembahyang dan kesan yang paling baik ialah kanak-kanak itu telah biasa dengan  sembahyang.Kalau kita khuatir anak-anak akan menggangu solat kita maka bagi  kanak-kanak perempuan, kita perlulah membersihkan diri mereka dahulu, pakaikan  pakaian yang bersih kemudian barulah kita solat.
Sekiranya ketika  bersolat mereka datang memeluk atau berbaring di depan kita, kita boleh mengubah  kedudukan atau mendukung mereka dengan syarat setiap pergerakan itu tidak  melebihi tiga kali pergerakan berturut-turut. Bagi kanak-kanak lelaki pula,  keadaan ini sukar dilakukan kerana mereka perlu bersunat terlebih dahulu barulah  dikira diri mereka itu bersih.Kita hendaklah mengerti bahawa mendidik anak-anak  kecil dan melatih mereka dengan budi pekerti yang terpuji adalah perkara penting  dan amat perlu.
Tugas pendidikan ini bukanlah suatu tugas sampingan yang  boleh diketepikan atau ditukar ganti peranannya oleh orang lain. Dalam konteks  ini bolehlah kita menarik perhatian tentang orang gaji sebagai ibu kedua bagi  kanak-kanak yang kedua-dua ibu bapa mereka bekerja.
Belaian Manja Ibu  Bapa
Kita harus sedar bahawa orang gaji tidak mampu untuk berfungsi  sebagai ibu yang sejati. Anak-anak memerlukan kasih sayang. Kasih sayang tidak  boleh dijual beli. Keperluan manusia bukan sekadar makan minum tetapi juga  belaian manja dari ibu bapa. Tidak guna kalau kita melonggokkan segala kemewahan  kepada anak-anak sedangkan jiwanya rasa bagai tiada tempat bertaut yang kukuh  dan selesa.
Imam al-Ghazali mengatakan bahawa anak-anak adalah amanat di  tangan kedua ibu bapa. Hatinya suci laksana mutiara yang berharga, indah, bersih  dari segala gurisan dan bentuk. Ia akan menerima apa sahaja yang dibuat  kepadanya dan condong kepada apa yang ditarik kepadanya. Jika dibiasakan  anak-anak itu dengan perbuatan-perbuatan baik yang diajar kepadanya, ia akan  besar dalam keadaan itu sehingga berbahagialah kehidupannya dunia akhirat.
Sebaliknya jika anak-anak itu dibiasakan dengan perbuatan-perbuatan yang  jahat dan dicuaikan pendidikannya seperti kehidupan binatang yang terbiar, sudah  tentu dia akan binasa.Kalau sekarang ini kita begitu bersungguh-sungguh menjaga  keselamatan anak-anak kita dari mara bahaya seperti terkena api dunia, maka  melindunginya dari api akhirat adalah lebih penting dan utama lagi.
Cara  melindungi anak-anak itu ialah dengan memberinya pendidikan dan pengajaran yang  baik, dan membiasakan mereka dengan segala akhlak dan budi pekerti yang terpuji,  memeliharanya dari pergaulan dengan kawan-kawan yang jahat.
Tidak usah  terlalu cerewet dengan kemewahan ataupun mengikut kemahuan anak-anak dalam  serba-serbi kemewahan dan perhiasan diri, kerana dikhuatiri anak-anak itu akan  menghabiskan umurnya memburu kemewahan sehingga boleh membawa kebinasaan yang  berterusan kepada mereka. Kita amat mengharapkan akan tibanya generasi yang  terdidik, yang berpegang teguh dengan tali Allah dan bukannya terumbang-ambing  seperti yang didapati pada zaman sekarang.
Oleh: Ustazah  Siti Nor Bahyah Mahamood 
 
 

 
   
 
0 comments:
Post a Comment