Dibelasah kerana tegur polis
JITRA: Hanya kerana menegur perbuatan seorang anggota polis membuang sampah di luar tong sampah, seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal menanggung padah apabila mendakwa dibelasah anggota itu dan lima rakannya serta diugut ditembak di Taman Bahagia, Kodiang, dekat sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, dari Jalan Sanglang, dekat Kodiang, turut digari sebelum dimasukkan ke lokap di Balai Polis Kodiang.
 Mohd Ridzuan berkata, dia  menjalankan tugas harian mengangkut sampah di situ sebelum seorang  lelaki berusia 40-an membuang sampah di luar tong sampah.
Katanya, dia yang kecewa dengan sikap lelaki itu menegur perbuatannya.perniatamnya supaya membuang sampah itu ke dalam tong disediakan.
“Dia berang dan mempersoalkan tindakan saya, malah  bertambah berang apabila melihat saya tidak tahu dia adalah polis.   “Dia yang berpakaian preman turut mengugut menembak saya jika membawa  pistolnya bersama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan  Sanglang, Kodiang, semalam.
 Katanya, selepas bertengkar,  anggota terbabit meninggalkan kawasan itu sambil memberi amaran  kepadanya supaya berhati-hati dan sekali lagi mengugut menembaknya.
Menurutnya, setengah jam kemudian lelaki itu datang semula bersama lima rakannya dipercayai polis berpakaian preman berusia 30-an.
“Tanpa  usul periksa, mereka menendang saya sehingga terjatuh. Selepas itu,  muka, tangan dan perut saya disepak sebelum digari dan dibawa ke Balai  Polis Kodiang dengan motosikal,” katanya.
Menurutnya, kejadian disaksikan orang ramai tetapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana menyangka polis menangkap penjenayah.
  Menurutnya, sebaik tiba di balai polis berkenaan, dia dibawa ke dalam  sebuah bilik sebelum dipukul dengan rotan, selain ditendang sehingga  tidak bermaya.
 "Lelaki yang bertengkar dengan saya itu turut  menendang bahagian muka saya dan dia sekali lagi mengugut akan menembak  saya," katanya.
 Mohd Ridzuan kemudian dimasukkan ke dalam lokap sebelum dibebaskan setengah jam kemudian.
tanpa sebarang alasan.
  Katanya, dia mendapatkan rawatan di Hospital Jitra dan doktor  memaklumkan terdapat kesan lebam pada pipi kiri, rusuk kiri dan bahu.  Mohd Ridzuan mendakwa pergelangan tangannya turut luka dan masih sakit  akibat digari.
 Mohd Ridzuan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini, pada jam 1.40 pagi Ahad lalu.
 Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusoff mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
 
 

 
   
 
0 comments:
Post a Comment