Wednesday, April 20, 2011
Misbun Kembali?
Misbun mampu selesai krisis
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -- Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata, beliau bukan masalah utama dalam badminton negara ketika ini, sebaliknya masalah kritikal yang sedang dialami Malaysia adalah ketiadaan pelapis berwibawa dan tugas yang diberikan kepada Datuk Misbun Sidek untuk menaikkan bakat-bakat muda mampu membantu menyelesaikan krisis tersebut.
Tegas Chong Wei, walaupun ketika ini tumpuan terarah kepada pemburuan pingat emas Sukan Olimpik 2012 yang digalas olehnya, namun persoalan siapa yang boleh menggantikannya apabila beliau bersara nanti adalah lebih penting untuk difikirkan, pada ketika pemain muda yang dimiliki negara sekarang jauh daripada meyakinkan.
Pengalaman bekerjasama dengan Misbun sejak usia muda menyakinkan Chong Wei bahawa mentornya itu adalah orang yang paling layak untuk menggalas tugas melahirkan lebih ramai jaguh dunia, malah pandangan pemain No. 1 dunia itu turut dikongsi pembantu Misbun sejak sekian lama, Tey Seu Bock.
Chong Wei sendiri adalah contoh terbaik bintang dunia yang berjaya dilahirkan jurulatih berpengalaman itu, malah Misbun turut menaikkan Muhammad Hafiz Hashim daripada pemain yang tiada apa-apa hingga akhirnya muncul juara All England pada 2003.
"Seperti yang pernah saya tegaskan, segala keputusan mengenai siapa yang akan membimbing saya, diputuskan oleh BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sepenuhnya dan saya tidak campur, tetapi apabila mereka memutuskan untuk meletakkan Misbun sebagai jurulatih pelapis, saya mula nampak harapan untuk kita menamatkan masalah ketandusan pemain masa depan.
"Mengenali Misbun, saya tahu beliau mempunyai kepakaran dan kemampuan yang bagus dalam menaikkan bakat-bakat muda, saya yakin beliau mampu memberi suntikan baru kepada badminton negara kerana ketika ini, semua orang menunggu siapa yang akan menjadi pengganti saya apabila saya bersara nanti.
"Bagi diri saya, memburu pingat emas Sukan Olimpik adalah misi penting tetapi pengalaman mengajar saya mengurus persiapan dengan baik, lagipun saya ada jurulatih seperti Seu Bock dan Rashid (Sidek) untuk membantu, bersama mereka, kami mengharungi tiga bulan yang baik setakat ini,'' ujar Chong Wei.
Chong Wei, 29, juara Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia dan All England tahun ini, percaya badminton negara berdepan masalah yang lebih serius daripada sekadar memburu emas Olimpik 2012, iaitu siapa yang akan menggantikannya dan memikul cabaran Malaysia selepas temasya London nanti.
Ketika ini, barisan kedua skuad elit negara seperti Tan Chun Seang, Chong Wei Feng Liew Daren dan Chan Kwong Beng masih terlalu jauh ketinggalan di pentas antarabangsa meskipun sudah diberi banyak pendedahan, ia meletakkan Malaysia dalam masalah besar apabila tiba kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas 2012 atau pada kejohanan yang tidak disertai Chong Wei.
Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM minggu lalu memutuskan Misbun akan melatih sekumpulan pemain muda, yang dibentuk daripada gabungan pemain elit dan pelapis yang kini dikendalikan oleh Hendrawan dengan matlamat melahirkan juara pada Sukan Asia 2014 dan Olimpik 2016.
Hingga kini, tidak diketahui apakah pendirian Misbun mengenai peranan baru yang diberikan kepadanya, namun jika beliau mahu menyahut cabaran melahirkan lebih ramai juara, termasuk menaikkan anaknya sendiri, Misbun Ramdan Misbun menjadi jaguh dunia, maka tawaran yang diberikan oleh BAM ini tidak harus ditolak. Kedudukan Misbun hanya akan diketahui apabila exco BAM bermesyuarat pada 28 April ini.
"Saya amat menghormati Misbun sebagai jurulatih yang berkemampuan menaikkan pemain-pemain muda menjadi jaguh dunia. Dulu, dalam tempoh satu tahun setengah, beliau berjaya membawa Hafiz muncul juara All England pada 2003, kemudian beliau menaikkan Chong Wei menjadi pemain No. 1 dunia.
"Saya rasa situasi ketika ini, BAM amat terdesak untuk mencari pengganti kepada Chong Wei kerana sekarang tiada pemain yang dilihat benar-benar mampu diketengahkan, jadi Misbun dipilih untuk menggalas tugas yang berat dan saya rasa, beliau punyai kemampuan untuk melakukannya.
"Bagi saya pula, setakat ini belum ada hitam putih daripada CTC mengenai skop tugas saya, dan sehingga itu saya akan terus melatih Chong Wei bersama Rashid tetapi mengenai pemain lain, kami belum membuat perancangan kerana kita belum tahu siapakah pemain yang akan ikut Misbun dan siapa yang kekal,'' kata Seu Bock.
Labels:
Berita-Berita Sukan Tempatan
0 comments:
Post a Comment