cilako betul Loriii...............
KOTA BHARU 23 Dis. - Seorang pelajar yang dalam perjalanan pulang bersama ibunya selepas mengambil keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) maut apabila motosikal yang dinaiki mereka dihempap lori pasir di lampu isyarat Kok Lanas dekat sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, lori tersebut turut menghempap tiga buah kereta. Bagaimanapun, penumpang serta pemandu kenderaan terbabit terselamat.
Siti Aisyah Zakaria, 15, dan ibunya, Aziza Musa, 42, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas dihempap lori tersebut yang keluar dari simpang arah Selising ke Machang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Osman berkata, kejadian berlaku ketika Aziza menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Maahad Shamsul Maarif (P) yang teletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya selepas mengambil keputusan PMR yang diumumkan hari ini.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika motosikal yang ditunggangi Aziza berhenti di simpang lampu isyarat sementara menunggu lampu hijau.
"Tiba-tiba, lori pasir terbabit yang datang dari arah Selising keluar ke Jalan Machang ke susur kiri lampu isyarat. Lori terbabit hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan sebelum merempuh motosikal mangsa.
"Pada masa yang sama, lori itu menghempap tiga kereta lain yang turut berada di simpang lampu isyarat di Jalan Machang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azham berkata, ketiga-tiga kereta terperosok bawah lori dan pelajar terbabit turut terperosok bawah tayar lori.
Katanya, usaha mengeluarkan mangsa dan tiga kereta yang dihempap itu dibantu oleh pihak bomba dan penyelamat.
"Mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Banggol Chicha, Kok Lanas, dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.
"Kita juga telah menahan pemandu lori ini untuk diambil keterangan berhubung kejadian itu untuk membantu siasatan dan ia dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, suami Aziza, Zakaria Mohamad, 43, berkata, ketika kejadian, dia berada di Kem Desa Pahlawan kerana menghantar barangan yang dipesan oleh pelanggannya sebelum menerima panggilan telefon daripada seorang kawan memaklumkan kejadian itu.
"Saya terima panggilan lebih kurang pukul 1.15 petang daripada seorang rakan yang juga memiliki sebuah kedai motosikal berhampiran tempat kejadian. Dia beritahu isteri dan anak saya terlibat dalam kemalangan.
"Saya bertanya mengenai keadaan anak dan isteri saya tetapi rakan saya itu enggan memberitahu dan meminta saya segera datang ke tempat kejadian. Sebaik tiba, saya terkejut mendapati anak dan isteri saya telah meninggal dunia," katanya.
From : Utusan Online
0 comments:
Post a Comment