keajaiban dunia sempena kelahiran Rasulullah
Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah di Mekah
al-Mukarramah sebagai pembuka rahmat di pelosok alam semesta.
Kelahiran baginda menjadi seribu satu tanda bahawa baginda akan menjadi
utusan terakhir dalam menyampaikan risalah Islam. Ia merupakan peristiwa
utama dalam sejarah Islam.
Baginda mempunyai kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam
konteks sebelum kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas
dilahirkan. Peristiwa luar biasa ini disebut sebagai Irhas.
Irhas bermaksud satu perkara luar biasa bagi manusia yang normal dan
hanya diberikan kepada bakal nabi. Irhas dikategorikan kepada tiga:
1. Irhas yang dinyatakan di dalam kitab yang tidak
boleh diubah atau
dipinda.
2. Alamat-alamat kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada
orang alim melalui ilham dan sebagainya.
3. Kejadian luar biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad
s.a.w.
Sehubungan itu, masih ramai masyarakat Islam yang sebenarnya tidak
mengetahui peristiwa di sebalik kelahiran baginda. Ini kerana masih
banyak lagi rahsia yang belum tersingkap.
Oleh itu penulis terpanggil untuk menyingkap kembali peristiwa di
sebalik kelahiran baginda Junjungan Besar s.a.w.
Sebenarnya banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi
Muhammad s.a.w.
Pertama, semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bondanya,
Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang
hamil.
Kehamilannya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang
kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau
telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu
kepada seluruh umat
manusia.
Selain itu kehamilannya ditandai dengan haidnya terputus dan
berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.
Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah
memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan
memberitahu semua penghuni langit dan bumi.
Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur,
pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di
darat dan di laut sibuk membincangkannya.
Ketiga, peperangan tentera bergajah yang disebut di dalam al-Quran
surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentera
bergajah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi.
Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu
berhenti dan berundur dengan izin Allah.
Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan
menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam
al-Quran.
Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab
sejarah.
Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah
tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia
diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa.
Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata ``Khabar
bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara
itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.''
Semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Aminah ditemani Asiah dan
Maryam. Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad
lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Isa dan Musa.
Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang
seorang nabi pada akhir zaman.
Semasa baginda dilahirkan, bondanya menyaksikan nur atau cahaya keluar
dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana
Busra di
Syria.
Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga
dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat.
Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi
seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling
awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah
apabila baginda dilahirkan.
Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua
tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa.
Kemudian bondanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga
beliau mendengar sebuah seruan ``Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur
dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala
perkara syirik''.
Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah
riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah
langit sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda
ketinggian
martabatnya daripada semua makhluk.
Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang
terdapat di situ mengalami kerosakan dan kemusnahan.
Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, ``Ketika aku sedang berada di
Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah.
Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, ``telah lahir nabi
pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada
berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha
Mengetahui.''
Selain itu di tempat yang lain pula satu goncangan berlaku di mahligai
Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak, manakala empat belas
tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan di antara tanda -tanda
keruntuhan kerajaan tersebut.
Namun, api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu
tahun telah padam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan
orang-orang Majusi yang
dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat
mengejutkan orang Parsi.
Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang
dianggap suci tenggelam ke dalam tanah.
Setelah baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda
bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.
Dalam riwayat yang sahih dan masyhur, ketika baginda diasuh oleh ibu
susunya iaitu Halimatus Sa'diah, ladang-ladang Halimah kembali menghijau
setelah mengalami kemarau.
Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang
banyak. Selain itu, Nabi tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor
lalat termasuk juga pakaian baginda.
Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di
atas kepala melindungi baginda daripada panas matahari.
Ketika berusia empat tahun, sedang baginda bermain-main dengan saudara
susuannya, tiba-tiba datang malaikat mendekati baginda iaitu
malaikat
Jibril dan Mikail.
Lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah dan mencuci
gumpalan darah itu dengan salji. Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan
darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu
diletakkan semula di tempatnya.
hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 : Bukankah Kami
telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)?
Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda adalah khatamun
nubuwwah, penutup segala nabi.
Perkara -perkara luar biasa ini telah membuktikan kepada kita kemuliaan
baginda di sisi Allah, sekali gus sebagai bukti kerasulannya.
Di samping itu, bukti -bukti tersebut juga dijelaskan di dalam kitab
kitab terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang
terakhir.
Thursday, December 02, 2010
Keajaiban dunia sempena kelahiran Rasulullah
Labels:
From Email
0 comments:
Post a Comment