Pages

Tuesday, January 11, 2011

'Saya perlukan Misbun'

'Saya perlukan Misbun'

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tegas tidak boleh berlatih di bawah pengawasan jurulatih lain selain Datuk Misbun Sidek ketika menyiapkan diri ke Sukan Olimpik London, tahun depan.

Pendirian pemain kelahiran Pulau Pinang itu cukup menunjukkan dia mahu terus berlatih di bawah bimbingan Misbun dalam misi buruan emas pertama Olimpik negara.


“Saya tahu ada orang cadangkan bila Misbun tiada, saya boleh berlatih bawah orang lain, tapi saya tidak rasa begitu kerana untuk mewujudkan persefahaman saya atau jurulatih perlukan masa enam bulan. Tempoh itu terlalu lama untuk saya melakukan persiapan ke Sukan Olimpik,” kata Chong Wei yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas mempertahankan kejuaraan Siri Super Final di Taiwan.

Chong Wei menewaskan Peter Gade dari Denmark pada perlawanan akhir untuk muncul juara buat kali ketiga berturut-turut.


Biarpun membuktikan dia mampu mencipta kejayaan tanpa Misbun di sisi, pemain yang bakal mencecah usia 29 tahun Oktober tahun ini menafikan anggapan yang mengatakan dia tidak perlukan jurulatih yang mengangkatnya ke ranking pertama sejak Ogos 2008.


“Itu tidak betul, saya perlukan Misbun. Sebenarnya tumpuan saya terganggu selagi isu ini tidak diselesaikan. Saya menang semata-mata kerana keazaman untuk mempertahankan tiga kejuaraan bulan ini,” kata Chong Wei yang disambut Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai dan Pengurus Besar Kenny Goh.

“Misbun juga sering menghubungi saya di Taiwan membincangkan mengenai permainan saya yang ditontonnya di televisyen, sebelum dan selepas perlawanan.” Tiga kejohanan yang ingin dipertahankan Chong Wei bulan ini adalah Siri Super Final yang sudah berjaya dilaksana dan dia kini mahu meneruskan aksi cemerlang dengan menjuarai Terbuka Malaysia dan Terbuka Korea.


Bagi memastikan hasrat mempertahan kejuaraan Terbuka Malaysia pada 18 hingga 23 Januari ini, Chong Wei akan mula menjalani latihan di Bukit Kiara hari ini.

“Saya pasti peminat tidak sabar melihat aksi saya menentang Lin Dan di separuh akhir. Saya akan melakukan yang terbaik tapi harap Misbun kembali sebelum Terbuka Malaysia bermula,” kata Chong Wei berulang kali menyebut nama Misbun.


Ketika ditanya bila dia akan beralih ke profesional, dia berkata: “Saya akan lihat bagaimana keputusan Misbun, bagaimana cara BAM dan Menteri Belia dan Sukan selesaikan masalah ini. Saya akan beralih ke profesional sebaik Misbun sahkan tidak kembali ke BAM.” Juara enam Siri Super tahun lalu itu juga berharap tidak ada pihak membuat tanggapan salah terhadap Misbun dengan mengatakan jurulatih itu cuba membawanya keluar dari BAM.


“Jangan salahkan beliau. Jika saya bertindak keluar dari BAM, ini atas kehendak sendiri bukan mengikutnya.” Misbun menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM 31 Disember lalu menerusi emel, namun isu itu berlarutan tanpa penyelesaian selama seminggu. Begitupun ia dijangka berakhir pada mesyuarat Exco BAM yang berlangsung esok.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...