Pages

Friday, October 21, 2011

Nak Raya Haji doh Kita....

Majlis Raja-Raja tetapkan 27 Oktober lihat anak bulan tentu tarikh Aidiladha


KUALA LUMPUR: Petang 27 Oktober bersamaan 29 Zulkaedah ditetapkan bagi melihat anak bulan Zulhijah untuk menentukan Aidiladha.

Perkara itu dititahkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin selepas diperkenankan Majlis Raja-Raja. Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidiladha atau Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. Sebanyak 30 lokasi ditetapkan bagi melihat anak bulan iaitu di Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara di Melaka; Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati dan Pulau Angsa, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor serta Sabak Bernam di Selangor.


Lokasi lain ialah Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong di Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Kemuning, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu. Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu di Kelantan; Tanjong Lubang, Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak serta Balai Cerap Al-Biruni, Putatan di Sabah. Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan; Menara Kuala Lumpur di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Wilayah Persekutuan Putrajaya; dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di Perlis. - Bernama

Safee Glemer Berlakon di Indonesia

Safee tolak sambung berlakon
Oleh Nurul Huda Kosnon
nurulhuda@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Penyerang negara, Safee Sali, menerima tawaran sebagai pelakon undangan tetap daripada stesen televisyen Indonesia, Transit7 selepas membuat penampilan sulung sejam dalam sitkom Opera Vanjava, Rabu minggu lalu.

Bagaimanapun, kapten Pelita Jaya FC (PJFC) itu terpaksa melupakan hasrat cabang baru yang dianggap menarik itu berikutan ingin memberikan tumpuan kepada kelab dan skuad kebangsaan. “Saya terkejut apabila pengurusan stesen itu menawarkan saya berlakon lagi. Tapi, saya terpaksa tolak. Bagaimanapun, jemputan sebagai pelakon undangan memberi pengalaman berharga tidak mungkin saya lupakan,” katanya ketika dihubungi di Jakarta, semalam.


Walaupun menganggap jemputan itu sekadar `suka-suka’, namun lakonan Safee di sisi pelakon terkenal Indonesia antaranya Eddy Supono atau Parto, Entis Sutisna (Sule), Andre Taulany (Andre), Muhammad Azis (Azis) dan Tri Retno Prayudati (Nunung) dikatakan memukau kira-kira hampir 300 penonton di studio.

Siri komedi berkonsep pertunjukan wayang pentas versi moden itu disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen itu. Katanya, jemputan itu berpunca selepas dia sering ke studio stesen televisyen itu untuk menyaksikan rakaman Opera Vanjava. Safee berkata, dalam episod `Cinta Tragis Palsu Ciin’ itu, dia diberi peranan untuk membaca skrip dan mengenakan kostum dan terpaksa menggunakan dialek Indonesia yang dianggapnya tidak banyak berbeza dengan bahasa Melayu. “Tapi, agak gementar juga kerana pertama kali berlakon. Malah, kekok untuk menyesuaikan diri dengan pelakon terkenal Indonesia. Tapi, alhamdulillah, saya sudah cuba memberikan yang terbaik dan tidak sangka mendapat tepukan gemuruh penonton di studio,” katanya.

Safee adalah pemain kebangsaan yang ‘tersesat seketika’ di bidang lakonan selepas pemain lagenda, Mokhtar Dahari yang membuat kemunculan dalam filem Mekanik arahan Othman Hafsham, pada 1983.

Thursday, October 20, 2011

Hati2 dengan Penculik Kanak-Kanak...!!!

Van putih muncul lagi
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my



AMPANG: Tragedi kes culik dan pembunuhan kejam Nurin pada 20 Ogos 2007 hampir berulang apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun hampir diculik dua lelaki menaiki van putih persis kenderaan yang didakwa melarikan Nurin.

Menggunakan taktik hampir sama seperti kes penculikan sebelum ini, kanak-kanak lelaki terbabit diculik dan dibawa lari beberapa meter sebaik berjalan keluar dari sekolahnya berhampiran Kampung Melayu Ampang, Jumaat lalu.


Bagaimanapun, mangsa terselamat apabila sempat melarikan diri sebaik pintu van berkenaan terbuka akibat tindakannya yang meronta-ronta ketika ditahan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa baru tamat waktu persekolahan dan mahu pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran.


“Ketika sedang berjalan tiba-tiba seorang lelaki tempatan memakai kemeja-T terus keluar dari van putih diletakkan di tepi jalan lalu menghampiri kanak-kanak berkenaan yang baru keluar dari pintu utama sekolah.


“Lelaki itu dikatakan memeluk lalu menangkap mangsa dari belakang. Akibat terkejut dengan tindakan itu, mangsa meronta dan cuba melepaskan diri,” katanya ketika dihubungi semalam.


Namun, mangsa dibawa masuk menaiki van dipandu seorang lagi lelaki tempatan dipercayai untuk dibawa lari.


“Dalam perjalanan itu, mangsa terus meronta-ronta melepaskan diri. Disebabkan keadaan van yang bergegar, pintu van itu terbuka.

“Mangsa segera melompat keluar dari van itu dan melarikan diri. Kedua-dua suspek yang panik dengan tindakan mangsa kemudian memecut van berkenaan,” katanya.


Berikutan itu, mangsa pulang ke rumahnya dan menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk membuat laporan.


Amiruddin berkata, polis kini sedang giat memburu suspek dan menasihati orang awam supaya peka keadaan sekeliling dan memaklumkan polis sekiranya melihat keadaan mencurigakan menggunakan van putih.


Dalam kejadian sebelum ini, Nurin Jazlin Jazimin, 8, diculik selepas mengunjungi pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007. Mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya. Dua bulan selepas itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun nyaris diculik berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju tidak jauh dari tempat Nurin dilaporkan hilang. Dalam kejadian itu, mangsa yang cuba ditarik masuk ke dalam van sempat melawan sebelum dilepaskan penjenayah yang terkejut dengan jeritan ibu mangsa. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa turut dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.

‘Kad kredit’ RM15


‘Kad kredit’ RM15
Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik syarikat percetakan, satu sindiket mencetak kad kredit palsu dikesan aktif menjalankan kegiatan itu dengan menjadikan sebuah rumah kedai ‘kilang’ pemprosesan di Bandar Puteri, Pelabuhan Klang sejak lima bulan lalu.

Difahamkan, sindiket terbabit menjadi pembekal kepada beberapa sindiket penipuan kad kredit dengan mencetak kad kosong mengandungi cip mengikut permintaan pelanggan mereka yang dijual pada harga RM15 sekeping.

Timbalan Pengarah Operasi dan Risikan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Tajudin Md Isa berkata, dalam serbuan sepasukan anggota Bahagian Operasi dan Bantuan Teknik jam 6.30 petang kelmarin, dua lelaki tempatan termasuk pemilik syarikat terbabit berusia 21 dan 44 tahun ditahan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mampu mencetak 50,000 keping kad kredit palsu dalam tempoh sebulan sebelum dihantar kepada pelanggan tetap.


“Mereka akan meminta pelanggan membuat bayaran deposit ketika menempah kad termasuk memberikan contoh rekaan kad yang dikehendaki sebelum bayaran penuh dibuat sebaik kad siap dihantar.

Wednesday, October 19, 2011

Hasrat jaga bayi ditolak

Hasrat jaga bayi ditolak

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

BETONG: Tindakan seorang pelajar perempuan tingkatan empat membunuh dengan mengelar bayi yang baru dilahirkan sehingga terburai perut di dalam asrama sebuah sekolah menengah di sini, kelmarin dikatakan akibat hilang pertimbangan selepas hasratnya untuk menjaga bayi itu dan berkahwin dengan teman lelakinya ditentang keras keluarga masing-masing.

Difahamkan, kekasih mangsa berusia 27 tahun dikatakan bersetuju mengahwini pelajar berusia 16 tahun itu selepas menyedari gadis itu mengandung hasil keterlanjuran mereka, namun mendapat tentangan daripada keluarga masing-masing dipercayai kerana faktor bawah umur.


Berikutan itu, pelajar terbabit dikatakan ‘naik hantu’ lalu membunuh bayi perempuan baru dilahirkan dengan mengelar sebanyak tujuh kali badan bayi malang itu menggunakan pisau pemotong sayur dalam bilik asrama sekolahnya.

Menurut sumber, maklumat awal daripada keluarga pasangan terbabit menjelaskan, mereka menyatakan hasrat untuk berkahwin beberapa hari sebelum kejadian.


“Mungkin disebabkan tekanan perasaan dihadapi selepas hasrat mangsa untuk berkahwin dengan lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan dia mengandung ditolak keluarga kedua-dua belah pihak, pelajar terbabit mengambil jalan pintas dengan membunuh bayi tidak berdosa itu bagi melepaskan kemarahan,” katanya.


Harian Metro semalam melaporkan, seorang pelajar bertindak mengelar bayi selepas melahirkannya dalam bilik asrama kira-kira jam 7.40 pagi kelmarin.


Kejadian menggemparkan itu berlaku apabila bayi dilahirkan cukup sifat sebelum dia mengelar bayinya yang masih hidup itu dengan pisau pemotong sayur sepanjang 15 sentimeter.


Sebelum kejadian, pelajar terbabit dikatakan gagal hadir ke kelas sehingga menimbulkan rasa curiga seorang guru lelaki berusia 41 tahun yang kemudian ke bilik asramanya.

Sebaik tiba di bilik pelajar berkenaan, guru itu terkejut apabila mendapati satu mayat bayi perempuan cukup sifat berlumuran darah di atas lantai berhampiran katil suspek.


Sekurang-kurangnya tujuh kesan kelaran ditemui di belakang tubuh, leher, tangan, rusuk selain perut bayi itu sehingga menyebabkan isi perut terburai.


Susulan kejadian itu, guru lelaki yang menjumpai mayat bayi terbabit membuat laporan sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong bergegas ke lokasi kejadian.


Sementara itu, polis mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Sri Aman, di sini, bagi menahan reman pelajar terbabit yang masih dirawat di Hospital Betong selama tujuh hari bermula hari ini.


Perintah reman dikeluarkan Majistret Nazari Bujang bagi membolehkan polis menjalankan siasatan termasuk mengumpul maklumat mengenai kejadian itu.


Difahamkan, pada masa sama, polis turut berusaha menjejak seorang lelaki yang juga kekasih kepada pelajar berkenaan bagi membantu siasatan.


“Dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan ke atas pelajar terbabit kerana didakwa membunuh, manakala teman lelakinya, Seksyen 376, kanun sama kerana merogol,” katanya yang mengakui tidak ada sebarang tangkapan dilakukan sehingga kini.

Kekuasaan Allah s.w.t

Laut bergelora berubah tenang
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
TERTIB...kakitangan Jabatan Mufti Perak melupuskan abu pembakaran Al-Quran. Gambar kecil, Pengurus Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan menunjukkan bongkah abu untuk dilupuskan.

LUMUT: Abu pembakaran puluhan ribu naskhah al-Quran seberat satu setengah tan yang dibuang ke laut berhampiran Pulau Sembilan di sini, pagi semalam, mempunyai warna kelabu walaupun dibakar yang dianggap pelik dan jauh berbeza berbanding kertas biasa yang menjadi hitam apabila dibakar.

Kejadian itu disaksikan lebih 30 ahli rombongan diketuai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika melakukan proses melupuskan abu al-Quran di sekitar perairan pulau berkenaan yang pertama kali dilakukan di kawasan laut dalam.


Abu al-Quran yang dibakar itu dikumpul Syarikat Percetakan Saufi di Batu 10, Jalan Cheras, Kajang, Selangor, sebelum dihantar ke dermaga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada jam 9.30 pagi semalam menggunakan van milik syarikat berkenaan.

Sebanyak 170 plastik hitam mengandungi abu itu dipindahkan ke kapal KM Marlin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum dibawa ke tengah laut kira-kira 8.2 batu nautika dari pangkalan TLDM.


Proses memindahkan abu al-Quran itu dilakukan dengan tertib apabila semua plastik seberat lapan kilogram setiap satu itu disusun teratur dengan bantuan anggota APMM.


Tugas membuang abu al-Quran itu seolah-olah dipermudahkan apabila laut yang mulanya agak berombak tiba-tiba menjadi tenang sebaik petugas terdiri dari pegawai Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Perak, Pegawai Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Perak memulakan proses membuang abu.



Harusssani yang memberi taklimat ringkas berhubung tugas itu kemudian menjatuhkan bongkah abu berkenaan satu persatu ke laut.


Tugas menjatuhkan bongkah abu Al-Quran itu kemudian dilakukan beramai-ramai dalam masa 10 minit.

Harussani yang juga Pengerusi Lembaga Teks dan Pelesenan al-Quran, berkata ulama sebelum ini bersependapat membuang abu al-Quran ke dalam laut adalah kaedah terbaik walaupun cara menanam di dalam tanah juga dibenarkan.


“Bagaimanapun kaedah menanam abu al-Quran di dalam tanah dibimbangi boleh tercemar jika ada aktiviti dilakukan di atas tanah berkenaan. Oleh itu, kaedah membuang abu al-Quran ke laut paling selamat dan akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, yang turut mengikuti proses membuang abu al-Quran itu memberitahu berkata, proses pembakaran dan mengumpul abu dimulakan sejak tiga bulan lalu

Sekolah Khas Melatih Penipu

10 sekolah latih penipu

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
BELAJAR JADI PENIPU...sekolah melatih warga Nigeria jadi penjenayah.

KUALA LUMPUR: Lelaki warga Nigeria yang memperdaya mangsa terutama golongan wanita di Malaysia dikesan menjalani latihan kemahiran menipu di beberapa sekolah khas yang diwujudkan di beberapa kawasan terpencil di negara mereka sebelum dihantar ke negara sasaran.

Siasatan polis di peringkat antarabangsa mendapati ada lebih 10 sekolah melatih penipu diwujudkan di negara itu sejak awal 1990-an bagi memastikan kebolehan menipu mereka mampu diwarisi mengikut peredaran zaman dan sukar ditumpaskan.


Kewujudan sekolah menipu itu didedahkan Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berdasarkan siasatan pihaknya selepas mendapati ramai warga negara ini diperdaya warga Nigeria sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, sekolah itu hanya menetapkan satu syarat iaitu pelatih hanya perlu tahu berkomunikasi dengan menggunakan komputer dan Internet.


“Pusat itu tidak berkonsepkan sekolah harian atau institusi pendidikan secara terbuka, sebaliknya beroperasi secara sembunyi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa negara itu.


“Semua bentuk latihan dibahagi mengikut jenis penipuan termasuk penipuan popular yang dikatakan mampu mengaut keuntungan tinggi seperti penipuan Internet, Black Money dan penyamaran pegawai polis,” katanya kepada Harian Metro.



Victor berkata, ada sebahagian ‘pelatih’ sekolah menipu itu berjaya menguasai kemahiran disediakan akan dihantar ke negara yang dijadikan sasaran untuk mempraktikkan kemahiran yang diajar.


“Mereka inilah yang akan menjadikan wanita tempatan di negara kita sebagai kekasih sebelum diperangkap sebagai mangsa penipuan sama ada dalam aktiviti jenayah siber atau pengedaran dadah,” katanya.

Menurutnya, sekolah menipu itu juga dipercayai menyediakan latihan praktikal kepada pelajarnya mengenai kaedah penipuan Black Money.


“Kaedahnya mudah iaitu bahan kimia khas digunakan untuk mengembalikan keadaan asal wang kertas yang disaluti warna hitam dan Black Money diperkenalkan negara Barat bertujuan menghantar wang ke negara mundur tanpa disedari musuh.


“Malangnya, kaedah yang sama dimanipulasikan sindiket berkenaan untuk menjual bahan kimia khas berkenaan kepada mangsa pada harga yang tinggi,” katanya.


Beliau berkata, kewujudan sekolah menipu itu terbukti memberi impak besar dalam penularan kegiatan jenayah lelaki Nigeria apabila siasatan polis di beberapa negara mendapati suspek yang ditahan mengesahkan mereka adalah ‘lulusan’ sekolah itu.


Pada 29 September lalu, muka depan Harian Metro mendedahkan penemuan koleksi surat, skrip dan puisi cinta serta gambar lelaki berkulit putih kacak dalam komputer riba warga Nigeria yang digunakan untuk mengaut RM24 juta daripada 774 wanita tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang 2010 hingga Ogos lalu, seramai 232 warga Nigeria ditahan kerana terbabit penipuan Internet dengan menyasarkan wanita Malaysia sebagai mangsa. Siasatan polis mendapati, sindiket penipuan warga Nigeria di negara ini mempunyai skrip atau ayat cinta yang dicipta khusus bagi memancing wanita tempatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...