Pages

Monday, January 24, 2011

Hafiz dilepaskan BAM

BAM lepaskan Hafiz

KUALA LUMPUR - Beraksi dalam kejohanan antara kelab di Indonesia menjadi perancangan terdekat jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim sebaik diberi lampu hijau daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meninggalkan skuad kebangsaan tanpa sebarang syarat.

Ketika ini, ada tiga buah kelab di negara itu sudah mengemukakan tawaran kepada juara All England 2003 itu untuk beraksi bersama mereka dalam saingan liga yang akan berlangsung dari 19-27 Februari ini.

Bagaimanapun jelas Hafiz, dia belum memulakan sebarang rundingan dengan mana-mana kelab, kerana masih mempunyai kontrak dengan BAM dan hanya bersedia untuk membuka rundingan sebaik kontraknya tamat pada 1 Februari ini.

Sambil berterima kasih kepada budi bicara BAM yang telah melepaskannya dengan cara baik, Hafiz berjanji akan menyumbang kudrat kepada Malaysia setakat yang termampu jika diperlukan pada kejohanan utama seperti Piala Thomas, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Sukan SEA.

"Saya berterima kasih kepada BAM kerana mereka banyak menolong saya, malah memberi tempat kepada saya dalam skuad kebangsaan. Mereka juga banyak memberi pendedahan kepada saya dan hari ini mereka melepaskan saya dengan cara baik.

"Saya gembira kerana semuanya berakhir dengan baik. Ia bagus untuk BAM dan bagus untuk diri saya. Saya tetap sedia untuk menyarung jersi Malaysia jika diperlukan, terutama dalam kejohanan berpasukan. Dulu ketika masih di Nusa Mahsuri pun saya tiada masalah untuk beraksi buat negara, jadi tiada bezanya dengan sekarang," ujar Hafiz.

BAM dalam mesyuarat majlis semalam memutuskan untuk melepaskan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 itu tanpa sebarang syarat, biarpun Hafiz masih memiliki kontrak sehingga Sukan Olimpik London 2012. Presidennya, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh berkata, jasa yang pernah ditabur Hafiz, selain permohonan cara baik yang dikemukakan, menyebabkan badan badminton negara itu tiada masalah untuk melepaskannya.

"Hafiz sangat berterus terang, dia amat bekerjasama dengan kami, malah telah banyak berjasa dan berkhidmat kepada negara. Kami menerima permohonannya untuk meninggalkan skuad kebangsaan tanpa sebarang syarat," kata Nadzmi.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...