Pages

Wednesday, October 19, 2011

Hasrat jaga bayi ditolak

Hasrat jaga bayi ditolak

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

BETONG: Tindakan seorang pelajar perempuan tingkatan empat membunuh dengan mengelar bayi yang baru dilahirkan sehingga terburai perut di dalam asrama sebuah sekolah menengah di sini, kelmarin dikatakan akibat hilang pertimbangan selepas hasratnya untuk menjaga bayi itu dan berkahwin dengan teman lelakinya ditentang keras keluarga masing-masing.

Difahamkan, kekasih mangsa berusia 27 tahun dikatakan bersetuju mengahwini pelajar berusia 16 tahun itu selepas menyedari gadis itu mengandung hasil keterlanjuran mereka, namun mendapat tentangan daripada keluarga masing-masing dipercayai kerana faktor bawah umur.


Berikutan itu, pelajar terbabit dikatakan ‘naik hantu’ lalu membunuh bayi perempuan baru dilahirkan dengan mengelar sebanyak tujuh kali badan bayi malang itu menggunakan pisau pemotong sayur dalam bilik asrama sekolahnya.

Menurut sumber, maklumat awal daripada keluarga pasangan terbabit menjelaskan, mereka menyatakan hasrat untuk berkahwin beberapa hari sebelum kejadian.


“Mungkin disebabkan tekanan perasaan dihadapi selepas hasrat mangsa untuk berkahwin dengan lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan dia mengandung ditolak keluarga kedua-dua belah pihak, pelajar terbabit mengambil jalan pintas dengan membunuh bayi tidak berdosa itu bagi melepaskan kemarahan,” katanya.


Harian Metro semalam melaporkan, seorang pelajar bertindak mengelar bayi selepas melahirkannya dalam bilik asrama kira-kira jam 7.40 pagi kelmarin.


Kejadian menggemparkan itu berlaku apabila bayi dilahirkan cukup sifat sebelum dia mengelar bayinya yang masih hidup itu dengan pisau pemotong sayur sepanjang 15 sentimeter.


Sebelum kejadian, pelajar terbabit dikatakan gagal hadir ke kelas sehingga menimbulkan rasa curiga seorang guru lelaki berusia 41 tahun yang kemudian ke bilik asramanya.

Sebaik tiba di bilik pelajar berkenaan, guru itu terkejut apabila mendapati satu mayat bayi perempuan cukup sifat berlumuran darah di atas lantai berhampiran katil suspek.


Sekurang-kurangnya tujuh kesan kelaran ditemui di belakang tubuh, leher, tangan, rusuk selain perut bayi itu sehingga menyebabkan isi perut terburai.


Susulan kejadian itu, guru lelaki yang menjumpai mayat bayi terbabit membuat laporan sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong bergegas ke lokasi kejadian.


Sementara itu, polis mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Sri Aman, di sini, bagi menahan reman pelajar terbabit yang masih dirawat di Hospital Betong selama tujuh hari bermula hari ini.


Perintah reman dikeluarkan Majistret Nazari Bujang bagi membolehkan polis menjalankan siasatan termasuk mengumpul maklumat mengenai kejadian itu.


Difahamkan, pada masa sama, polis turut berusaha menjejak seorang lelaki yang juga kekasih kepada pelajar berkenaan bagi membantu siasatan.


“Dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan ke atas pelajar terbabit kerana didakwa membunuh, manakala teman lelakinya, Seksyen 376, kanun sama kerana merogol,” katanya yang mengakui tidak ada sebarang tangkapan dilakukan sehingga kini.

Kekuasaan Allah s.w.t

Laut bergelora berubah tenang
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
TERTIB...kakitangan Jabatan Mufti Perak melupuskan abu pembakaran Al-Quran. Gambar kecil, Pengurus Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan menunjukkan bongkah abu untuk dilupuskan.

LUMUT: Abu pembakaran puluhan ribu naskhah al-Quran seberat satu setengah tan yang dibuang ke laut berhampiran Pulau Sembilan di sini, pagi semalam, mempunyai warna kelabu walaupun dibakar yang dianggap pelik dan jauh berbeza berbanding kertas biasa yang menjadi hitam apabila dibakar.

Kejadian itu disaksikan lebih 30 ahli rombongan diketuai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika melakukan proses melupuskan abu al-Quran di sekitar perairan pulau berkenaan yang pertama kali dilakukan di kawasan laut dalam.


Abu al-Quran yang dibakar itu dikumpul Syarikat Percetakan Saufi di Batu 10, Jalan Cheras, Kajang, Selangor, sebelum dihantar ke dermaga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada jam 9.30 pagi semalam menggunakan van milik syarikat berkenaan.

Sebanyak 170 plastik hitam mengandungi abu itu dipindahkan ke kapal KM Marlin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum dibawa ke tengah laut kira-kira 8.2 batu nautika dari pangkalan TLDM.


Proses memindahkan abu al-Quran itu dilakukan dengan tertib apabila semua plastik seberat lapan kilogram setiap satu itu disusun teratur dengan bantuan anggota APMM.


Tugas membuang abu al-Quran itu seolah-olah dipermudahkan apabila laut yang mulanya agak berombak tiba-tiba menjadi tenang sebaik petugas terdiri dari pegawai Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Perak, Pegawai Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Perak memulakan proses membuang abu.



Harusssani yang memberi taklimat ringkas berhubung tugas itu kemudian menjatuhkan bongkah abu berkenaan satu persatu ke laut.


Tugas menjatuhkan bongkah abu Al-Quran itu kemudian dilakukan beramai-ramai dalam masa 10 minit.

Harussani yang juga Pengerusi Lembaga Teks dan Pelesenan al-Quran, berkata ulama sebelum ini bersependapat membuang abu al-Quran ke dalam laut adalah kaedah terbaik walaupun cara menanam di dalam tanah juga dibenarkan.


“Bagaimanapun kaedah menanam abu al-Quran di dalam tanah dibimbangi boleh tercemar jika ada aktiviti dilakukan di atas tanah berkenaan. Oleh itu, kaedah membuang abu al-Quran ke laut paling selamat dan akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, yang turut mengikuti proses membuang abu al-Quran itu memberitahu berkata, proses pembakaran dan mengumpul abu dimulakan sejak tiga bulan lalu

Sekolah Khas Melatih Penipu

10 sekolah latih penipu

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
BELAJAR JADI PENIPU...sekolah melatih warga Nigeria jadi penjenayah.

KUALA LUMPUR: Lelaki warga Nigeria yang memperdaya mangsa terutama golongan wanita di Malaysia dikesan menjalani latihan kemahiran menipu di beberapa sekolah khas yang diwujudkan di beberapa kawasan terpencil di negara mereka sebelum dihantar ke negara sasaran.

Siasatan polis di peringkat antarabangsa mendapati ada lebih 10 sekolah melatih penipu diwujudkan di negara itu sejak awal 1990-an bagi memastikan kebolehan menipu mereka mampu diwarisi mengikut peredaran zaman dan sukar ditumpaskan.


Kewujudan sekolah menipu itu didedahkan Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berdasarkan siasatan pihaknya selepas mendapati ramai warga negara ini diperdaya warga Nigeria sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, sekolah itu hanya menetapkan satu syarat iaitu pelatih hanya perlu tahu berkomunikasi dengan menggunakan komputer dan Internet.


“Pusat itu tidak berkonsepkan sekolah harian atau institusi pendidikan secara terbuka, sebaliknya beroperasi secara sembunyi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa negara itu.


“Semua bentuk latihan dibahagi mengikut jenis penipuan termasuk penipuan popular yang dikatakan mampu mengaut keuntungan tinggi seperti penipuan Internet, Black Money dan penyamaran pegawai polis,” katanya kepada Harian Metro.



Victor berkata, ada sebahagian ‘pelatih’ sekolah menipu itu berjaya menguasai kemahiran disediakan akan dihantar ke negara yang dijadikan sasaran untuk mempraktikkan kemahiran yang diajar.


“Mereka inilah yang akan menjadikan wanita tempatan di negara kita sebagai kekasih sebelum diperangkap sebagai mangsa penipuan sama ada dalam aktiviti jenayah siber atau pengedaran dadah,” katanya.

Menurutnya, sekolah menipu itu juga dipercayai menyediakan latihan praktikal kepada pelajarnya mengenai kaedah penipuan Black Money.


“Kaedahnya mudah iaitu bahan kimia khas digunakan untuk mengembalikan keadaan asal wang kertas yang disaluti warna hitam dan Black Money diperkenalkan negara Barat bertujuan menghantar wang ke negara mundur tanpa disedari musuh.


“Malangnya, kaedah yang sama dimanipulasikan sindiket berkenaan untuk menjual bahan kimia khas berkenaan kepada mangsa pada harga yang tinggi,” katanya.


Beliau berkata, kewujudan sekolah menipu itu terbukti memberi impak besar dalam penularan kegiatan jenayah lelaki Nigeria apabila siasatan polis di beberapa negara mendapati suspek yang ditahan mengesahkan mereka adalah ‘lulusan’ sekolah itu.


Pada 29 September lalu, muka depan Harian Metro mendedahkan penemuan koleksi surat, skrip dan puisi cinta serta gambar lelaki berkulit putih kacak dalam komputer riba warga Nigeria yang digunakan untuk mengaut RM24 juta daripada 774 wanita tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang 2010 hingga Ogos lalu, seramai 232 warga Nigeria ditahan kerana terbabit penipuan Internet dengan menyasarkan wanita Malaysia sebagai mangsa. Siasatan polis mendapati, sindiket penipuan warga Nigeria di negara ini mempunyai skrip atau ayat cinta yang dicipta khusus bagi memancing wanita tempatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...